Nasional

Bayi 17 bulan maut, jadi mangsa dera rakan lelaki ibu

Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun lima bulan, disahkan meninggal dunia dipercayai didera rakan ibunya di Kampung Raja, Besut Terengganu.

Ibu kanak-kanak itu yang merupakan ibu tunggal berusia 27 tahun, telah direman untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, mangsa dipercayai diserah kepada seorang rakan lelaki ibunya untuk dijaga pada pukul 4.00 petang, Isnin lalu.

Bagaimanapun, mangsa dihantar semula kepada ibunya pada pukul 7.30 pagi semalam dalam keadaan tidak sedarkan diri serta mempunyai kesan lebam di beberapa anggota badan.

Hasil bedah siasat didapati terdapat kebocoran usus kecil pada kanak-kanak malang itu yang menyebabkan kematian.

“Susulan itu, tangkapan dibuat ke atas ibu kanak-kanak berusia 27 tahun yang juga ibu tunggal. Dia ditahan untuk membantu siasatan dan akan direman hari ini (9 November).

“Pihak polis juga sedang mengesan rakan lelaki suspek,” katanya dalam satu kenyataan media.

Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak yang boleh disabitkan denda tidak melebihi RM 20,000 atau boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun atau keduanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian serta lokasi suspek iaitu rakan kepada ibu mangsa, diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, ASP Mohd Faiz Che Mat di talian 014-6329916 atau 09-6956222.

Related Articles

Back to top button