Politik

Fitnah Lim Guan Eng: 48 jam tamat, DAP buat laporan polis terhadap Mastura

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid membuat laporan polis terhadap Dr Siti Mastura Muhammad di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, Kuala Lumpur, hari ini.

Ini semua gara-gara tuduhannya bahawa Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mempunyai hubungan keluarga dengan pemimpin komunis, Chin Peng dan Perdana Menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew.

Dalam laporan polis yang kandungan dikongsi dengan media itu, Syerleena berkata kenyataan Ahli Parlimen Kepala Batas itu melalui video di Youtube itu tidak berasas, fitnah, palsu dan berniat jahat.

“Dr Siti Mastura tidak memberi penjelasan atau bukti untuk menyokong semua tuduhannya walaupun diberi peluang,” katanya.

Terdahulu, Guan Eng memberikan tempoh 48 jam yang tamat hari ini kepada Mastura untuk membuktikan dakwaannya sebelum dia mengambil tindakan lanjut.

Mastura dipercayai membuat dakwaan itu dalam program Pas di Kemaman, Terengganu, baru-baru ini.

Beliau turut mendakwa Guan Eng dan bapanya Kit Siang juga mempunyai hubungan keluarga dengan ramai pemimpin DAP termasuk seperti Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, Naib Pengerusi, Nga Kor Ming dan Teresa Kok dan ex officio Ngeh Koo Ham.

Sementara itu, Syerleena dalam laporan polisnya percaya kenyataan itu merupakan kesalahan bawah Seksyen 504 (pecah keamanan), dan Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan (menyebabkan khianat awam).

Katanya, ia juga melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta Seksyen 499 Kanun Keseksaan kerana melakukan fitnah jenayah.

Sementara itu, dalam kenyataan medianya selepas itu, Syerleena mengingatkan Mastura tentang hadis yang menyebut bahawa Allah melaknat pihak yang menabur fitnah.

“Mastura mungkin terlalu baru dalam politik Malaysia atau tidak cukup terdedah kepada perkembangan isu semasa sehingga begitu dangkal akal fikirnya hatta sanggup memperjudikan reputasi sendiri sebagai seorang pembohong dan orang yang membangkitkan fitnah yang sedang tidur.

“Saya yang DAP ini tentunya tidak layak untuk memetik ayat-ayat agama di mata Dr Mastura. Namun saya percaya, beliau lebih terpelajar tentang hal ini,” sindir Syerleena.

Related Articles

Back to top button