Sukan

Helmi Azman mahu segera sesuaikan diri dengan jentera Moto2


Menjelang penampilan sulungnya di Kejuaraan Motosikal Dunia di Grand Prix (GP) Malaysia hujung minggu ini, Helmi Azman mengakui perlu segera menyesuaikan diri dengan jentera.

Helmi yang bakal beraksi atas tiket wildcard dalam kelas Moto2 itu mengakui tidak pernah menunggang jentera yang bakal digunakan dan usaha menyesuaikan diri sudah dimulakan seawal sesi latihan pertama lagi.

Pelumba kelas SuperSports 600cc di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) itu bagaimanapun melahirkan rasa optimis mampu memberi cabaran pada perlumbaan Ahad ini.

“Rasa teruja apabila dapat beraksi dalam saingan Moto2. Saya tidak pernah membawa jentera Moto2 dan untuk minggu ini (GP Malaysia), saya akan berbekalkan pengalaman ketika beraksi di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).

“Dari segi elektronik (jentera), mungkin tidak banyak beza seperti ARRC. Saya perlu pantas menyesuaikan diri dengan jentera (Moto2) di sesi latihan pertama lagi dan selepas itu di sesi latihan kedua, saya kena buat yang terbaik.

“Saya sudah mempunyai banyak pengalaman di litar Sepang dan ia satu kelebihan buat saya. Apapun, yang paling penting untuk saya adalah menyesuaikan diri dengan jentera terlebih dulu,” katanya.

BACA LAGI: Danial, Hakim tamatkan saingan dalam 20 kelompok terbaik

Petronas di akaun Facebook Petronas Motorsports pada Selasa mengumumkan Helmi dan Azroy bakal beraksi di GP Malaysia atas tiket wildcard bersama pasukan MIE Racing Honda Team.

Helmi bakal membuat penampilan sulungnya di Kejuaraan Motosikal Dunia manakala GP Malaysia bakal menjadi pentas kedua buat Azroy yang pada musim lalu turut diberikan peluang beraksi mewakili pasukan.

Saingan kelas Moto2 hujung minggu ini menarik perhatian ramai. Pelumba Red Bull KTM Ajo, Pedro Acosta mempunyai peluang untuk ‘mengunci’ gelaran juara bagi kelas berkenaan di Litar Sepang.

Untuk itu Acosta perlu menamatkan perlumbaan di kedudukan empat terawal dengan pencabar terdekatnya Tony Arbolino dari Elf Marc VDS Racing tidak naik podium.

Atau sekiranya Arbolino menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua atau ketiga, maka Acosta harus berada di posisi ke sembilan atau 13 terawal menamatkan perlumbaan.

Related Articles

Back to top button