Nasional

Kementerian Ekonomi bentang Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif hujung bulan ini

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memaklumkan Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif akan dibentangkan di Parlimen pada 30 November .

Menurut Rafizi, kertas putih itu akan menerangkan secara lebih terperinci berkaitan dengan ciri-ciri asas dan mekanisme pelaksanaannya dasar berkenaan.

Tambahnya, peruntukan pelaksanaan rintis gaji progresif untuk pekerja dan syarikat swasta awalnya telah dimasukkan di dalam Belanjawan 2024 di bawah Kementerian Ekonomi.

Untuk mengekalkan momentum tumpuan kerajaan kepada persoalan gaji rakyat, projek rintis pelaksanaan gaji progresif itu jelasnya akan dilaksanakan pada 2024 bagi menilai keberkesanan dan ketersediaan dasar tersebut.

“Ini kali pertama kerajaan akan campur tangan secara terus untuk meningkatkan gaji sektor swasta.

“Keputusan yang dibuat ialah pelaksanaannya perlu melibatkan kesemua pihak dan digerakkan sebagai langkah bersama satu negara,” katanya menerusi aplikasi X pada Rabu.

BACA LAGI: Skim baharu gaji penjawat awam diumum tahun hadapan

Dasar gaji progresif dibuat bagi membantu negara mencapai sasaran bahagian pampasan pekerja sebanyak 45 peratus dari keluaran dalam negara kasar (KDNK) dalam tempoh 10 tahun.

Ogos lalu, Rafizi memaklumkan dasar sistem gaji progresif telah diluluskan di peringkat Kabinet.

Dasar tersebut akan menjadi pelengkap kepada Dasar Gaji Minimum dan bukan bertujuan untuk menggantikannya.

Related Articles

Back to top button