ekonomi

Kerajaan bangun pelan tindakan baharu untuk perkasa ekonomi bumiputera

Pelan tindakan baharu berkaitan kepentingan bumiputera sedang dibangunkan kerajaan, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Rafizi ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, pada Rabu berkata, sehubungan itu, peruntukan untuk pembangunan Bumiputera menerusi Belanjawan 2024 diletakkan di bawah Kementerian Ekonomi terlebih dahulu berbanding disalurkan terus kepada agensi-agensi seperti Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) atau Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas).

“Peruntukan untuk pemerkasaan Bumiputera dan pendidikan di bawah Yayasan Peneraju berjalan seperti biasa, termasuk program pembangunan sebanyak RM300 juta dan program khas peruntukan kepada Bumiputera untuk tahun depan.

“Saya buat keputusan untuk diletakkan di peringkat kementerian terlebih dahulu sementara kita membangunkan pelan tindakan baharu Bumiputera,” katanya

Rafizi pada Mac lalu dilapor berkata, keberkesanan Teraju dalam mengendalikan agenda Bumiputera akan diteliti semula berikutan dana yang disediakan kerajaan tidak disalurkan sepenuhnya kepada golongan sasar.

Teraju yang berperanan menerajui, menyelaras dan memacu agenda Bumiputera bertujuan meningkatkan penguasaan kumpulan berkenaan dalam ekonomi negara masih mempunyai baki dana sebanyak RM800 juta dari tahun-tahun sebelum ini merangkumi peruntukan perbelanjaan pembangunan dan mengurus yang boleh digunakan untuk aktiviti berkaitan Bumiputera pada tahun depan.

“Baki yang diperuntukkan pada tiga, empat tahun lepas (masih ada)… maksudnya program yang dibuat sama ada tidak ada sambutan atau tidak kena, kita perlu tambah baik dan selaras program itu, baru boleh melancarkan program baharu,” tambah beliau.

Related Articles

Back to top button