Sistem I-Lesen singkatkan kelulusan enam lesen dari 7 hari kepada 24 jam
Tempoh kelulusan bagi enam jenis lesen kini dipendekkan daripada tujuh hari kepada 24 jam sahaja melalui Sistem i-Lesen yang diperkenalkan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Menterinya Nga Kor Ming berkata enam lesen itu ialah Lesen Kutipan Komersial, Perindustrian, Keinstitusian; Lesen Kutipan Isi Rumah; Lesen Pembersihan Awam; Lesen Kutipan Pembinaan; Lesen Pengangkutan Jauh dan Lesen Pelupusan Operasi Fasiliti.
Beliau berkata, Sistem i-Lesen yang dibangunkan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) itu akan dapat meningkatkan tahap produktiviti sehingga 90 peratus berbanding sebelum ini.
“Melalui Sistem i-Lesen, tempoh masa yang diambil oleh JPSPN untuk meluluskan permohonan lesen adalah 24 jam setelah bayaran dibuat, berbanding tujuh hari sebelum ini melalui kaedah manual,” katanya dalam ucapan pada Majlis Pelancaran Inisiatif Digitalisasi Industri Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Negara di Putrajaya, hari ini.
Dalam teks ucapan yang dibacakan Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib, Nga berkata pembayaran fi lesen melalui Sistem i-Lesen itu dapat dibuat “secara serta merta, pada bila-bila masa dan di mana jua pemohon lesen berada”, berbanding kaedah terdahulu iaitu bayaran secara manual di kaunter JPSPN.
Beliau berkata, lebih 9,000 pemain industri perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam boleh membuat pembayaran fi lesen melalui Financial Process Exchange (FPX) dengan mana-mana 33 institusi perbankan yang bekerjasama dengan Affin Islamic Bank Bhd.
“Transaksi secara tanpa sentuhan ini secara tidak langsung akan mengurangkan masa dan tenaga yang diperlukan oleh pihak syarikat untuk hadir secara fizikal di kementerian ini untuk membuat pembayaran fi lesen secara manual,” katanya.
Sementara itu, Nga berkata KPKT bersama JPSPN merancang untuk mengadakan program pembangunan kompetensi untuk warga kerja dalam pengurusan sisa pepejal dengan pemberian kad kompetensi pekerja.
Beliau berkata, kad kompetensi menjadi pengiktirafan bagi pekerja di lapangan yang dipastikan telah menerima latihan yang betul dan mempunyai pemahaman asas mengenai Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) serta peraturan-peraturan di bawah akta itu.
Menurutnya, terdapat kira-kira 18,289 pekerja tempatan yang terlibat dalam sektor pekerjaan 3D (sukar, berbahaya dan kotor) yang boleh ditingkatkan kemahiran mereka. – Bernama