Mahkamah

Ugut menteri: Polis serah kertas siasatan kepada ACG

Polis sudah menyerahkan kertas siasatan kes seorang lelaki didakwa membuat hantaran ugutan terhadap Menteri Pendidikan kepada Jabatan Peguam Negara (ACG).

Perkara itu dinyatakan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay kepada pemberita selepas menghadiri satu acara di Ulu Kinta Perak pada Rabu.

“Kertas siasatan ini kita sudah hantar kertas siasatan ke pihak Jabatan Peguam Negara bagi cadangan tuduh.

“Kita juga dapat arahan lanjut untuk mendapatkan laporan forensik daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM),” katanya

Ayob Khan sebelumnya hadir ke Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun 69 Komando kali ke-54 dan penutupan Kursus Asas 69 Komando siri 1/2023 di Kem Sultan Nazrin Shah.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Keselamatan Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Hazani Ghazali dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki dipercayai pemilik atau pengendali akaun laman media sosial ‘X’, @syahmisufi8 itu ditahan di Setapak, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu susulan empat laporan yang dibuat terhadap individu itu.

BACA LAGI: Polis tahan lelaki, dipercayai buat hantaran ugutan terhadap Fadhlina Sidek

Suspek berusia 28 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan aitu kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan lain-lain.

Sementara itu, Ayob Khan turut menasihatkan pengguna agar lebih bertanggungjawab ketika membuat hantaran di akaun media sosial masing-masing.

“Mereka beranggapan bahawa tiada tindakan diambil dan polis tidak pantau. Sebenarnya mereka akan dikesan, ditangkap dan akan dituduh.

“Bertanggungjawablah dalam menggunakan media sosial. Ada perkara boleh dikongsi secara terbuka dan meluahkan perasaan, gunalah media sosial untuk kebaikan,” katanya.

Related Articles

Back to top button