Semasa

10,843 Tabika Kemas bakal laksanakan program pra tahfiz

Program Tabika Pra Tahfiz di 10,843 Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan dilaksana bagi memperkasa pendidikan al-Quran kepada kanak-kanak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kurikulum sedia ada di tabika akan diperkukuh dan dimasukkan dengan program baharu itu agar ilmu akidah, ibadah, solat dan keagamaan dapat diterapkan sejak di peringkat tabika lagi.

“Dua hari yang lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Kemas dan Yayasan Pahang.

“Yayasan Pahang telah melaksanakan program yang sama di 21 Tabika Yayasan Pahang di negeri itu bersama Yayasan PINTA (gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan) yang menaungi maahad tahfiz di seluruh negara dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi penyediaan pedagogi atau kaedah pengajaran kepada guru Kemas,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat pada Khamis.

BACA LAGI: Kerajaan Persekutuan peruntukkan RM4.61 juta bantu Sekolah Agama Rakyat di Pulau Pinang

Mengulas lanjut mengenai program itu Ahmad Zahid menjelaskan, ia akan menjadi antara Hala Tuju Strategik (HATS) kementerian dalam Membangun Modal Insan Desa Secara Komprehensif bagi memperkasakan pendidikan Al-Quran kepada kanak-kanak.

Selain itu ia juga bertujuan melahirkan huffaz (hafiz & hafizah) yang mahir dalam pembacaan, pengajian ilmu al-Quran dan pengajian Islam bagi memelihara kesucian al-Quran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2024 yang dibentang di Dewan Rakyat pada 13 Okt lalu memaklumkan, Kerajaan Perpaduan memperuntukkan RM20 juta bagi melaksanakan Program Pra Tahfiz Kemas.

Related Articles

Back to top button