Semasa

KPKT beri komitmen selesai 13 projek sakit PRIMA menjelang 2024

Sebanyak 77 projek perumahan berlesen yang dikategorikan ‘projek sakit’ di kenal pasti di seluruh negeri Pahang.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, selain 77 projek itu pihaknya turut mengenal pasti sembilan projek perumahan lewat siap dan tujuh lagi diketegorikan terbengkalai.

“Daripada jumlah projek sakit yang dikenal pasti itu, KPKT berjaya menyelesaikan 51 projek sakit di mana 47 daripadanya berjaya mendapat Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) dan selebihnya berjaya melancarkan kembali gerak kerja dan projek berjalan lancar,” katanya.

Akmal berkata begitu kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke projek perumahan swasta di PR1MA Residensi D’Marina @ Pinggiran Putra 2, dekat Kuantan pada Khamis.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu turut menjelaskan, satu daripadanya projek sakit adalah di bawah Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan selebihnya adalah swasta.

BACA LAGI: Tindakan tegas kepada pihak buang sampah, cemarkan Sungai

Mengulas mengenai 13 projek PR1MA yang telah dikenal pasti, Akmal berkata kementeriannya akan memberi komitmen penuh untuk menyelesaikannya menjelang hujung tahun hadapan.

“Ini termasuklah sebuah projek di bawah Perbadanan PR1MA Malaysia iaitu PR1MA Residensi D’Marina @ Pinggiran Putra 2 dan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) iaitu Taman 1-Icon yang terletak di Kuala Kuantan, Kuantan yang dimajukan oleh pemaju swasta Evocon Properties Sdn. Bhd.

“Isu tertangguh bagi projek PR1MA terbabit hanyalah berkaitan Loji Rawatan Kumbahan (STP) dan Stesen Pam Penghubung (NPS) yang masih belum selesai.

“Bagi PPAM pula, ia berpunca daripada masalah infrastruktur yang masih belum lengkap dan perlu menjalani pemeriksaan oleh pihak Majlis Bandaraya Kuantan (MBK),” tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Akmal turut memaklumkan KPKT telah mengeluarkan pekeliling kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) agar melakukan penyelenggaraan sistem perparitan dan longkang di kawasan masing-masing selari dengan pengumuman MET Malaysia tentang ketibaan Monsun Timur Laut (MTL) hujung minggu ini.

Related Articles

Back to top button