Global

Malaysia menang kes tuntutan Sulu, berjaya pertahan kepentingan negara

Keputusan Mahkamah Perancis membatalkan perintah gadai janji berkanun terhadap bangunan diplomatik Malaysia di Paris oleh penuntut warga Filipina (Kumpulan Sulu) dianggap satu kemenangan besar untuk Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata keputusan pada 6 Nov itu telah menolak pengiktirafan anugerah separa bertarikh 25 Mei 2020 di Perancis.

Tambahnya, hasil selanjutnya daripada keputusan 6 Jun, hakim penguat kuasa Paris pada Khamis merekodkan penarikan diri pihak penuntut warga Filipina bagi prosiding rampasan aset itu.

“Kesimpulannya keputusan pada 6 dan 9 Nov ini membolehkan keputusan membebaskan kerajaan Malaysia daripada cubaan tidak sah oleh warganegara Filipina itu untuk merampas aset diplomatik Malaysia di Perancis secara menyeluruh.

BACA LAGI: Azalina optimis mahkamah di Paris akan hentikan pertikaian tuntutan Sulu

“Mereka gagal dalam menyentuh hak milik harta Malaysia dan kita tidak sama sekali boleh bersikap tolak ansur ke atas tuntutan tidak sah ini.

“Malaysia telah berjaya melindungi kepentingannya di seluruh dunia, termasuk di Perancis (apa yang dipanggil anugerah akhir sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) dikatakan telah diberikan oleh penimbang tara Sepanyol, Dr Gonzalo Stampa).

“Mulai hari ini, sama ada anugerah separa atau apa yang dikatakan anugerah akhir, tidak boleh dikuatkuasakan di Perancis – pengiktirafan dan penguatkuasaan yang terdahulu telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan Paris dalam keputusannya pada 6 Jun 2023 dan penguatkuasaan kemudiannya telah ditangguhkan oleh Mahkamah Rayuan Paris sementara menunggu keputusan prosiding pembatalan,” katanya dalam satu media yang diadakan secara dalam talian dari London.

Pada sidang media sama, Azalina turut menegaskan kerajaan perpaduan akan sentiasa memastikan kedaulatan, keselamatan dan kepentingan negara secara menyeluruh akan terus dilindungi.

Pada 2019, kumpulan Sulu dilaporkan telah mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan bagi tanah di Sabah, yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878

Dalam usaha mereka untuk menguatkuasakan anugerah terakhir, kumpulan itu dilaporkan telah cuba merampas aset syarikat petroleum Malaysia, Petronas di Luxembourg dan Belanda, serta menyasarkan aset diplomatik Malaysia di Perancis (termasuk kedutaan).

Sementara itu Azalina turut memaklumkan penimbang tara Sepanyol Dr Gonzalo Stampa akan dibicarakan di Mahkamah Madrid pada 11 Dis ini atas dua kes jenayah berkaitan final award yang diberikan kepada Kumpulan Sulu sebelum ini.

Jelasnya, mahkamah Madrid sendiri yang telah menyiasat dan mengeluarkan tuduhan ke atas kesalahan yang dilakukan oleh Stampa dan jika beliau didapati bersalah atas pertuduhan itu, beliau akan dikenakan hukuman penjara dan didenda oleh mahkamah berkenaan.

Related Articles

Back to top button