Parlimen

NRECC bakal pinda Akta 655, kenakan denda lebih tegas terhadap pihak cemar air

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan membuat pindaan fasa pertama kepada Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad pada sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2024 peringkat jawatankuasa kementeriannya di Dewan Rakyat semalam berkata, pindaan itu akan melibatkan beberapa seksyen spesifik bagi menangani insiden pencemaran secara berkesan.

Ia jelasnya termasuk peningkatan tempoh hukuman dan kadar denda ke atas tindakan yang berisiko menyebabkan pencemaran kepada mana-mana alur air atau sistem bekalan air.

“Ia akan naik daripada RM10,000 kepada RM10 juta dan hukuman penjara daripada setahun kepada 15 tahun ataupun kedua-duanya sekali,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pindaan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) bagi menangani insiden pencemaran secara berkesan juga akan diteruskan dan dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama pada 16 November ini.

Sementara itu Nik Nazmi turut memberitahu ndah Water Konsortium (IWK) dijangka tidak lagi memerlukan subsidi daripada kerajaan bermula tahun hadapan.

BACA LAGI: NRECC sasar bandar utama guna kaedah pembentungan moden

Jangkaan itu berikutan usaha pengoptimuman konsesi itu bagi kos pengurusan dan pengoperasian selain IWK menjalankan perniagaan bukan terasnya sendiri seperti program sekular ekonomi, kitar semula bio pepejal dan sewaaan aset pembentungan kepada pihak ketiga.

“Pada tahun ini peruntukan kepada IWK ialah RM90 juta, namun setakat ini IWK mampu beroperasi dengan baik dengan menggunakan RM60 juta sahaja daripada peruntukan tersebut.

“Mesyuarat jemaah menteri kerajaan sebelum ini iaitu pada 20 April 2022 telah bersetuju dengan pelarasan tarif yang mula dilaksanakan Januari 2023, maka kita menjangkakan bahawa bermula 2024 IWK tidak perlu lagi subsidi dari pihak kerajaan,”tambahnya.

Related Articles

Back to top button