Global

PM Anwar seru China bantu rakyat Palestin

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta China untuk membantu menghentikan segera konflik Palestin-Israel selain menyarankan negara itu menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin di Semenanjung Gaza.

Melalui satu hantaran di Facebooknya beliau berkata, permintaan itu disampaikan pada kunjungan hormat Naib Presiden China, Han Zheng di pejabatnya pada Khamis.

Mengulas lanjut pertemuan itu, Anwar turut memaklumkan kedua-dua mereka mengambil kesempatan bertukar pandangan mengenai isu semasa dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

“Kami berdua turut menyentuh keperluan mengeratkan hubungan Malaysia dan China serta merancakkan pelaburan selain kerjasama dalam pelbagai sektor termasuk industri halal,” katanya.

Han Zheng mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia bermula semalam hingga 11 November ini sempena ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia- China.

BACA LAGI Tohmah PM Anwar lemah bela Palestin tindakan berniat jahat

Selain mengadakan kunjungan hormat ke atas Anwar, Naib Presiden China itu dijadual menghadiri Majlis Sembah Menghadap kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara dan mengadakan lawatan ke Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim, Perak dan Pulau Pinang.

China menjadi rakan dagang terbesar Malaysia dengan jumlah dagangan antara kedua-dua negara bernilai RM487.13 bilion pada tahun 2022.

China juga merupakan pelabur langsung asing terbesar di negara ini bagi tahun 2022 dengan pelaburan berjumlah RM55.4 bilion.

Related Articles

Back to top button