Mahkamah

Syed Saddiq wakil rakyat pertama dihukum sebatan

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjadi wakil rakyat pertama di negara ini yang dikenakan hukuman sebatan bagi kesalahan jenayah kolar putih.

Bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu yang mengumumkan perletakan jawatannya semalam dikenakan hukuman berkenaan selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis didapati dia bersalah atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).

Selain sebatan, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar turut dihukum penjara tujuh tahun dan denda RM10 juta.

Difahamkan, berdasarkan Seksyen 289(c) Kanun Prosedur Jenayah 2007 sabitan hukuman sebatan adalah mandatori bagi pertuduhan pecah amanah jenayah dan salah guna harta.

Bagaimanapun, sabitan berkenaan dikecualikan kepada pesalah wanita atau individu yang berusia lebih 50 tahun.

BACA LAGI: Syed Saddiq terpalit kes pecah amanah, tiada keabsahan moral bicara soal lawan rasuah

Terdahulu hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Hakim Azhar Abdul Hamid mendapati Syed Saddiq bersalah selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap keempat-empat pertuduhan yang dihadapinya.

Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan bekas penolong bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan RM1 juta dana Armada untuk melakukan CBT dengan menyalahgunakan dana itu.

Sementara itu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dalam satu sidang media semalam menjelaskan kedudukan Syed Saddiq sebagai Ahli Parlimen masih kekal buat masa ini.

“Beliau masih menanti dua lagi keputusan mahkamah (Mahkamah Rayuan) dan (Mahkamah Persekutuan), selagi belum diketahui, ia tidak akan menjejaskan kedudukannya di sini (Parlimen),” katanya

Related Articles

Back to top button