Semasa

Cabar enakmen jenayah syariah: mengapa baru sekarang PN tunjuk perihatin?

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Tusof Rawa mempersoal mengapa Perikatan Nasional (PN) yang seakan-akan baru menunjukkan keprihatinannya, terhadap isu petisyen dua individu mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Menurutnya, sedangkan gabungan politik itu tidak pernah membuat bantahan menyelamatkan undang-undang syariah sejak notis usul difailkan pada 25 Mei 2022, manakala petisyen difailkan pada Oktober tahun sama.

“Tiada bantahan dibuat oleh PN pada waktu itu mahu pun kedengaran bantahan secara politik oleh Pas untuk ‘selamatkan syariah’ ketika menjadi kerajaan di peringkat Persekutuan dan kerajaan negeri di Kelantan.

“Anehnya, barulah kedengaran Pas melalui Timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man membangkitkan isu ini pada Rabu lalu.

“Saya khuatir isu seperti RUU 355 (Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2021) yang pernah dipolitikkan suatu ketika dahulu akan berulang menyaksikan umat Islam dan negara diheret ke kancah pertikaian.

“Semasa PN menjadi kerajaan 2020-2022, tiada pula dilihat sesuatu hasil atau sekurang-kurangnya ke arah perlaksanaan RUU 355 yang heboh dimainkan sebelum Pas menjadi sebahagian Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.

BACA LAGI: Komitmen berterusan Kerajaan Perpaduan martabat syiar Islam

PN dalam satu sidang media di Parlimen pada 8 Nov lalu berkata akan menganjurkan siri perhimpunan pada 16, 18 dan 20 November ini bagi membantah petisyen dua individu yang mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Dalam pada itu Mujahid menegaskan, rentetan petisyen dua individu itu, reformasi menyeluruh berkaitan undang-undang syariah perlu dilakukan bagi memperbaiki institusi tersebut daripada terus dijadikan bahan politik oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Perkara ini wajar dibuat secara objektif dan kolektif dengan bertindak memastikan tiada kelompongan dalam perundangan syariah agar tiada pihak yang boleh mengambil kesempatan.

“Ia bukan soal ‘syariah dicabar’ untuk dipolitikan, tetapi bagaimana kita bertindak untuk memperkukuh peruntukan syariah yang ada supaya tiada lagi kelompongan,” katanya

Related Articles

Back to top button