Parlimen

Hanya Ahli Parlimen umum sertai parti lain, jadi wakil rakyat bebas akan hilang kerusi

Status empat Ahli Parlimen pembangkang yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim kekal dan tidak terjejas.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, berdasarkan undang-undang antilompat parti, Akta Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022, hanya Ahli Parlimen menyertai parti lain, selain mengumumkan diri wakil rakyat bebas akan hilang kelayakan kerusi disandang mereka.

Saifuddin yang juga Ketua setiausaha Pakatan Harapan (PH) melalui hantaran di laman Facebooknya turut mendedahkan ketika undang-undang itu mahu digubal, pendirian PH ialah Ahli Parlimen bertindak bertentangan keputusan whip parti dalam dewan dikira hilang kerusi dan Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan.

“Tindakan bertentangan ini termasuk dalam perkara seperti undian bajet, usul undi tidak percaya dan apa-apa RUU (rang undang-undang) yang memberi kesan kepada kedudukan kerajaan. Ahli Parlimen dipecat parti kerana melanggar disiplin dan perlembagaan parti (juga) dikira hilang kerusi,” katanya.

Bagaimanapun jelas Saifuddin, pendirian dan cadangan PH ketika itu tidak dipersetujui Perikatan Nasional (PN) yang diwakili Hamzah Zainudin dan Takiyuddin Hassan.

“(Jadi) Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai pengerusi usulkan hanya cadangan mendapat konsensus semua parti akan dimasukkan (dalam akta).

“Akhirnya, keadaan bagaimana yang dikira Ahli Parlimen hilang kerusi? Isytihar masuk parti lain, isytihar jadi Ahli Parlimen bebas.

“Isytihar sokong perdana menteri? Tidak hilang kerusi. Sekian.” tambahnya.

BACA LAGI Lebih ramai akan sokong PM Anwar jika Ketua Pembangkang tak mahu bincang peruntukan

Empat wakil rakyat Bersatu, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli) baru-baru ini mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.

Khamis lalu, Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul dilaporkan berkata, tindakan empat Ahli Parlimen itu tidak berkaitan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 yang melarang ahli Dewan Rakyat bertukar parti yang boleh menyebabkan mereka hilang kerusi di Parlimen.

Bersatu pada Jumaat mencadangkan undang-undang antilompat parti diluluskan Parlimen dikaji semula kerana mendakwa terdapat kelemahan.

Related Articles

Back to top button