PM Anwar adakan mesyuarat dua hala dengan Pakistan dan Iran
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan mesyuarat dua hala dengan beberapa pemimpin negara Islam di luar Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Ini termasuk bersama Perdana Menteri sementara Pakistan, Anwaar-ul-Haq serta Presiden Iran, Ebrahim Raisi.
Mesyuarat itu diadakan di luar sesi kelapan Sidang Kemuncak Tergempar OIC bagi membincangkan serangan dan kekejaman berterusan Israel terhadap Palestin yang dihadiri oleh kedua-dua pemimpin.
Menerusi hantaran di Facebook, hari ini, pertemuan yang diadakan itu telah menyatakan persetujuan agar kekejaman oleh Israel terhadap Palestin perlu dihentikan segera.
“Kami juga mendukung segala usul yang dibawa oleh OIC termasuk paling penting proses gencatan senjata oleh Israel dilakukan serta-merta.
“Kami juga turut menggesa supaya bantuan kemanusiaan yang lebih banyak dibawa masuk ke Palestin bagi membantu mereka yang memerlukan dan mahukan OIC memainkan peranan yang lebih besar khususnya dalam melibatkan isu kemanusiaan sejagat,” katanya.
Mesyuarat bilateral itu menyerlahkan komitmen Anwar untuk jadi penghubung kepada pemimpin negara-negara Islam.
Penyatuan penting bagi mendepani setiap permasalahan dan ancaman dihadapi Islam serta umatnya dan termasuk isu berkaitan Islamofobia dan Palestin.
Presiden Iran menyambut baik langkah Malaysia untuk mempertingkat hubungan dua hala serta menyatakan Malaysia dan Iran sebagai dua buah negara yang berpengaruh, perlu memainkan peranan yang besar dalam dunia Islam.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak menyatakan kesediaan untuk mempertingkat hubungan dua hala, termasuk dalam bidang ekonomi, pendidikan, sains dan teknologi serta meneroka peluang kerjasama baharu.
Baca lagi: