Global

PM Anwar gesa kempen diplomatik bersepadu tamatkan kejahatan rejim Israel

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menuntut pelaksanaan gencatan senjata serta-merta bagi menghentikan pembantaian rejim Israel terhadap penduduk Gaza.

Bercakap pada sesi kelapan Sidang Kemuncak Tergempar OIC di Pusat Konvensyen Antarabangsa Raja Abdulaziz di Riyadh pada Sabtu, Anwar turut mendesak supaya bantuan kemanusian kepada penduduk wilayah itu disegerakan.

Tegasnya, umat Islam di seluruh dunia mengharapkan hasil ketara serta tindakan konkrit daripada sidang kemuncak yang membincangkan serangan dan kekejaman berterusan Israel itu.

“Saya menggesa semua anggota OIC agar menggunakan saluran dan rangkaian diplomatik masing-masing secara strategik dalam setiap dialog di semua peringkat sama ada dua hala atau pelbagai hala, serantau mahupun antarabangsa.

“Marilah kita secara konsisten dan tegas mendesak perkara itu dalam satu kempen diplomatik yang bersepadu untuk memulakan pelaksanaan gencatan senjata dan menyegerakan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza,” kata Anwar.

BACA LAGI: Tohmah PM Anwar lemah bela Palestin tindakan berniat jahat

Setakat ini, lebih 11,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, terbunuh akibat serangan udara tanpa henti serta operasi darat yang kejam lebih sebulan oleh rejim Israeli di bumi Gaza.

Beribu-ribu lagi masih tidak dapat dikesan dan dipercayai terperangkap di bawah runtuhan bangunan yang telah musnah.

Sejak 7 Okt lepas, Israel dilapor menggugurkan lebih 25,000 tan bahan letupan di Semenanjung Gaza yang bersamaan dengan dua butir bom nuklear.

Sementara itu, Anwar dalam ucapan di persidangan itu turut mahu semua pihak yang mencabuli undang-undang antarabangsa termasuk melakukan jenayah perang disiasat dan diheret ke mahkamah menerusi institusi antarabangsa.

Malaysia, kata Anwar, mengiktiraf negara Palestin yang merdeka serta Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.

Related Articles

Back to top button