Global

APEC: PM Anwar dijadualkan bertemu pengurusan tertinggi syarikat teknologi terkemuka

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan bertemu pengurusan tertinggi syarikat teknologi terkemuka dunia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz melalui satu kenyataan berkata, sempena kehadiran Perdana Menteri di San Francisco sempena sidang Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pihaknya telah mengatur pertemuan antara Anwar dengan pengurusan tertinggi Google, Enovix, Microsoft dan TikTok.

Ia akan berlangsung di luar acara Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) dengan kehadiran Perdana Menteri di San Francisco.

“Mesyuarat itu bertujuan untuk memuktamadkan pelaburan berpotensi yang bakal mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi di Malaysia.

“Ia adalah selaras dengan strategi dan objektif digariskan dalam Rangka Kerja Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030),” katanya.

Sementara itu tambah Tengku Zafrul, Perdana Menteri akan mengetuai delegasi Malaysia ke AELM-30 dengan diiringi oleh beliau, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan pegawai kanan kerajaan.

“Kehadiran Perdana Menteri mencerminkan cadangan pembabitan aktif Malaysia pada AELM sekali gus menyumbang ke arah usaha menangani isu kritikal di peringkat serantau terutama di Asia Pasifik.

“Perdana Menteri juga akan mengetuai delegasi Malaysia di Dialog Ekonomi Tidak Rasmi Pemimpin dengan Tetamu APEC iaitu pemimpin Colombia, Fiji dan India; Dialog Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) dengan Pemimpin Ekonomi APEC dan Pemukiman Pemimpin Ekonomi APEC.

“Acara itu akan bertindak sebagai peluang kepada Perdana Menteri untuk menyatakan perspektif Malaysia mengenai ekonomi global semasa dan bertukar pandangan mengenai isu serantau yang mendesak dengan pemimpin APEC, ketua pegawai eksekutif (CEO) berpengaruh dan usahawan berjaya,” tambahnya.

BACA LAGI: Rangka tindakan HGHV industri berasaskan teknologi dan digital dilancar Feb 2024

Pada lawatan kerja rasminya ke San Francisco, perdana menteri turut dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya untuk mengukuhkan hubungan dua hala, bertukar-tukar idea untuk meningkatkan ekonomi integrasi dalam kalangan Ekonomi APEC.

Ia juga bagi membincangkan mengenai bagaimana perdagangan dan pelaburan boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaian dalam mengimbangi kesan geopolitik dan kerumitan geoekonomi.

Related Articles

Back to top button