Dr Hamdan sifatkan belanjawan Selangor 2024 cakupi segenap aspek
Naib presiden dan timbalan naib canselor (pembangunan pelajar dan jaringan komuniti) Universiti Selangor (Unisel), Prof Madya Dr Hamdan Mohd Salleh menyambut baik belanjawan Selangor 2024.
Dipetik laporan Selangorkini, beliau menyifatkan inti pati belanjawan itu mencakupi segenap aspek termasuk berkaitan pendidikan.
“Terima kasih dan penghargaan buat Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari atas Belanjawan Selangor 2024 yang ternyata turut memberi tumpuan kepada Unisel terutama terhadap fokus pembangunan mahasiswa.
“Peruntukan projek naik taraf, jaringan bersama industri, baucar buku, Bantuan Yuran Asas Universiti (BAYU), biasiswa dan lain-lain tentunya amat baik dan sangat membantu selaras usaha Unisel dalam proses transformasi sejak 2016,” katanya.
Menteri Besar , Datuk Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 Jumaat lalu menyentuh usaha pemerkasaan institusi pengajian tinggi di bawah Kerajaan Negeri iaitu Unisel, Universiti Islam Selangor (UIS) dan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) merangkumi aspek pentadbiran, pembangunan kapabiliti, kompetensi tenaga pengajar selain fasiliti pengajaran serta pembelajaran mahasiswa.
Ia termasuk peruntukan RM9 juta bagi projek naik taraf, membaik pulih dan menambah baik infrastruktur ketiga-tiga institusi itu bagi memastikan mahasiswa mendapat persekitaran yang kondusif sepanjang tempoh pengajian mereka.
BACA LAGI :Altimet sambut baik Belanjawan Selangor 2024
Selain itu ke arah mengukuhkan usaha Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Selangor terutama program TVET bernilai tinggi, menjelang 2025 Unisel akan distruktur semula menjadi Universiti Industri Selangor yang akan memfokuskan sepenuhnya kepada latihan teknikal dan vokasional dengan mewujudkan kerjasama strategik dengan industri.
Sementara itu, Dr Hamdan turut menyatakan harapan agar Unisel turut dilibatkan dalam membantu Kerajaan Negeri menerusi penyelidikan dan aktiviti jaringan komuniti.
Unisel jelasnya mampu memberi sumbangan lebih besar menerusi penyelidikan dan aktiviti jaringan komuniti yang kemudiannya pasti memberi manfaat kepada Kerajaan Negeri.
“Ia termasuk bidang penting manusiawi seperti warisan sejarah Selangor, perpaduan pembangunan belia, Orang Kurang Upaya (OKU), wanita, kesukarelawanan dan lain-lain menjadi kekuatan Unisel,” tambah beliau.