KPDN atur ‘strategi baharu’ tangani isu harga gula – Fuziah Salleh
“Strategi baharu” bagi menangani isu harga gula dijangka diumumkan dalam masa terdekat, kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh menjelaskan pihaknya kini di peringkat akhir perbincangan bersama pemegang taruh, termasuk kementerian terlibat.
Sebarang keputusan mengenai perkara itu menurutnya lagi akan mengambil kira pandangan pemain industri dan peniaga mikro.
“Kita mencari satu kombinasi, penyelesaian masalah. Nak industri juga gembira di mana tidak beri kesan harga makanan dan minuman… dalam masa yang sama jaga kepentingan peniaga dan pengguna,” katanya dipetik.
Fuziah sebelumnya mengulas cadangan Pengarah Urusan Mydin, Ameer Ali Mydin supaya kerajaan mengapung atau menaikkan harga siling runcit gula daripada RM2.85 sekilo kepada RM3.80, berdasarkan harga pasaran antarabangsa.
Mengulas cadangan itu Fuziah berkata, langkah menaikkan harga siling runcit perlu dielakkan bagi memastikan ia tidak menjadi alasan untuk peniaga lain menaikkan harga makanan yang dijual.
“Peniaga besar dia kena beli gula industri. Harga tak kawal, gula dalam paket 50kg untuk buat cili sos, kicap. Mereka tak terkesan tapi yang terkesan jual apam balik, kuih bakar, akok. Kita panggil peniaga mikro.
“Jadi sekiranya kita naikkan harga gula, segmen inilah yang akan menaikkan harga makanan. Sebab tu kami kena berhati-hati dengan struktur harga baharu,” katanya.
BACA LAGI: KPDN umum berita gembira untuk pengusaha Menu Rahmah
BACA LAGI: KKM gerak pelan advokasi kurangkan pengambilan gula
Menurut Jabatan Perangkaan, setiap isi rumah menggunakan gula secara purata 2.6kg sebulan, berbanding peniaga kecil-kecilan memerlukan lebih banyak gula dalam perniagaan mereka.
Harga kawalan runcit semasa yang ditetapkan kerajaan ketika ini adalah RM2.85 sekilogram untuk gula kasar dan RM2.95 sekilogram untuk gula halus.