Nasional

Operator wajib hubungi ibu bapa sekiranya kanak-kanak tidak hadir ke Taska, Tadika – Nancy

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mewajibkan operator Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dan Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) menghubungi ibu bapa dengan segera jika ada kanak-kanak tidak hadir ke kelas seperti biasa.

Itu antara peraturan baharu yang dilaksanakan dalam prosedur operasi standard (SOP) pengendalian Taska dan Tadika bagi mengelak kejadian ibu bapa tertinggal anak di dalam kereta.

Menteri KPWKK, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, langkah itu dilaksanakan susulan kekerapan kes kanak-kanak maut selepas ibu bapa yang terlupa dan meninggalkan mereka di dalam kereta.

Menurutnya, Taska dan Tadika juga perlu mendapatkan nombor telefon tambahan kalangan ahli keluarga kanak-kanak selain ibu bapa bagi membolehkan tindakan segera diambil jika berlaku kecemasan.

“KPWKM memperbaharui SOP susulan tiga kes kanak-kanak maut selepas tertinggal di dalam kereta dalam tempoh dua bulan ini.

“Operator Taska atau Tadika wajib menghubungi ibu atau bapa jika ada kanak-kanak tidak hadir ke kelas kerana ia mungkin berlaku disebabkan salah faham seperti kemungkinan biasanya ibu yang menghantar anak, tetapi pada hari itu tiba-tiba bapa pula yang menghantar dan dia terlupa ke Taska sebaliknya terus ke pejabat dengan anaknya terkunci di dalam kereta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Malam Media Sarawak Bersama Datuk Seri Nancy Shukri anjuran KPWKM dan Parlimen Santubong, di Kuching, malam tadi.

Nancy berkata, berikutan kekerapan kejadian kanak-kanak maut selepas tertinggal di dalam kereta, KPWKM menerima pelbagai reaksi serta cadangan daripada orang ramai bagi mengatasi masalah itu.

“Tetapi banyak cadangan itu bukan di bawah bidang kuasa KPWKM seperti melarang penggunaan cermin kereta gelap.

“Apa yang kami laksanakan ialah memperbaharui SOP Taska dan Tadika manakala yang lain seperti cermin kereta gelap itu bidang kuasa kementerian lain,” katanya.

Baca juga:

Related Articles

Back to top button