Semasa

PM Anwar titip doa untuk Palestin di hadapan Kaabah

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad sempat menitipkan doa buat rakyat Palestin ketika melaksana ibadah umrah.

Beliau melaksanakan rukun Islam kelima itu bersama isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sejurus tamat Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

“Alhamdulillah, saya bersama Azizah dan delegasi Malaysia diizinkan Allah melaksanakan ibadah umrah usai Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sebelum berangkat ke Amerika Syarikat.

“Saya titipkan doa memohon Allah mengangkat penindasan dan kemusnahan dari bumi Palestin.

“Semoga saudara kita di Gaza dan Tebing Barat dilimpahkan kesejahteraan, keamanan dan dikurnia kekuatan dalam menempuh tantangan dan kezaliman,” kata Anwar dalam satu perkongsian di media sosial.

BACA LAGI: PM Anwar gesa kempen diplomatik bersepadu tamatkan kejahatan rejim Israel

Anwar dan delegasi Malaysia sebelumnya ke Riyadh, Arab Saudi bagi menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar OIC bagi membincangkan serangan dan kekejaman berterusan rejim Israel ke atas Palestin khususnya Gaza.

Dalam persidangan yang berlangsung semalam menggesa negara-negara anggota OIC mendesak pelaksanaan gencatan senjata serta-merta dan menyegerakan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.

Perdana menteri dan delegasi kemudiannya akan berlepas pada petang dari Jeddah ke San Francisco, Amerika Syarikat untuk menyertai Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2023.

Related Articles

Back to top button