Bekas Panglima ATM calon Kerajaan Perpaduan di PRK Kemaman
Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor diumumkan sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.
Perkara itu diumumkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada majlis pengumuman calon di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Isnin.
“Kali ini kita letakkan tokoh yang luar dari bidang politik dan beliau telah menyatakan kesediaannya atas tawaran yang diberikan,” kata Ahmad Zahid.
PRK diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan Che Alias Hamid yang mewakili Pas .
Ia susulan pihak pempetisyen berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
BACA LAGI: PRK Kemaman ditetapkan pada 2 Disember
Sementara itu Ahmad Zahid menegaskan Kemaman bukan kawasan kubu Pas, dan beliau yakin rakyat akan kembali menyokong calon yang dipertaruhkan bagi mewakili kerajaan.
“Kita rasakan Kemaman bukan kubu kuat Pas, tetapi (menang) disebabkan terjahan isu fitnah dan juga simbahan kebencian terhadap UMNO dan BN, serta menggunakan sumber kewangan luar biasa pada ketika itu (PRU14).
Dalam pada itu, Raja Mohamed Affandi menyifatkan tawaran tersebut adalah atas dasar kepercayaan yang tinggi sekali gus beliau membayar balik jasa yang telah diterima selama ini.
“Kalau sesuatu yang datang secara tiba-tiba, biasanya ia datang dari hati kita. Saya ucapkan terima kasih kepada pimpinan kerana telah memilih saya, diterjunkan saya ke Kemaman dan saya sahut seruan itu.
“Saya telah berkhidmat 43 tahun, atas apa yang saya lalui ini, saya fikir panjang sebab apabila diberikan tawaran ini, saya fikir sudah sampai masa untuk saya berikan kembali pada negara selepas 40 tahun berkhidmat. Nilai kepercayaan yang tinggi itu saya akan bayar balik,” ujarnya.