Semasa

Nurul Ain Haron berjaya dievakuasi melalui lintasan sempadan Rafah

Rakyat Malaysia Nurul Ain Haron yang terkandas di kawasan konflik di Gaza sejak 7 Oktober lalu akhirnya dibawa keluar.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, Nurul Ain ,37, selamat dibawa keluar melalui Lintasan Sempadan Rafah pada Ahad (12 Nov) pukul 8.23 malam waktu tempatan (2.23 pagi waktu Malaysia).

Turut bersama Nurul Ain adalah suaminya, Mohamed A.M. Shaat yang juga merupakan warga Palestin.

“Ketibaan beliau dan suami di Lintasan Sempadan Rafah dimudahcara oleh Duta Besar Malaysia ke Kaherah bersama pegawai kedutaan yang lain.

“Sejurus Nurul Ain dan suami tiba di Lintasan Sempadan Rafah, beliau dihubungi Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Menteri Luar (Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir) untuk bertanya khabar melalui panggilan video,” kata kenyataan itu.

Wisma Putra sementara itu turut memaklumkan,evakuasi itu dapat dilaksanakan dengan berkesan berikutan pertemuan di antara Perdana Menteri dengan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi, semasa lawatan kerja beliau ke Mesir pada 23 Okt lepas, serta penyelarasan lanjut oleh Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan Kedutaan Besar Malaysia di Amman.

BACA LAGI: PM Anwar harap pembantaian Zionis terhadap etnik Palestin segera tamat

“Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah juga sedang menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada mereka.

“Kementerian Luar ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Republik Arab Mesir, Kerajaan Qatar, Kedutaan Besar Republik Arab Mesir di Kuala Lumpur dan Kedutaan Besar Qatar di Kuala Lumpur dalam usaha menjalankan proses evakuasi rakyat Malaysia yang berada di kawasan konflik Gaza.

Terdahulu, media melaporkan Nurul Ain ke Gaza mengikut suaminya pada 1 Oktober lalu selepas enam tahun berkahwin.

Kira-kira seminggu selepas berada di sana, wanita berasal dari Keramat, Kuala Lumpur itu berdepan situasi mencemaskan apabila Gaza mula diserang rejim Zionis sejak 7 Oktober.

Related Articles

Back to top button