Semasa

Nurul Ain ucap terima kasih kepada PM Anwar, Kerajaan Malaysia

Warga Malaysia, Nurul Ain Haron yang berjaya di evakuasi dari wilayah bergolak Gaza diminta menjelaskan kepada rakyat Malaysia berhubung situasi di Palestin.

Permintaan itu dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui panggilan bersama Nurul Ain dan suaminya sejurus mereka selamat dibawa keluar dari kawasan konflik itu melalui Lintasan Sempadan Rafah pada Ahad.

“Nanti dah sampai ke Malaysia rehat sekejap, kemudian terus bertugas untuk jelaskan (apa yang berlaku di Gaza kepada rakyat Malaysia). Kita doakan selamat berlepas ke Kuala Lumpur,” kata Anwar menerusi panggilan video yang berlangsung kira-kira lima minit.

BACA LAGI: PM Anwar gesa kempen diplomatik bersepadu tamatkan kejahatan rejim Israel

Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini memaklumkan Nurul Ain dan Mohamed A.M. Shaat selamat dibawa keluar melalui Lintasan Sempadan Rafah pada Ahad (12 Nov) pukul 8.23 malam waktu tempatan (2.23 pagi waktu Malaysia).

Nurul Ain, 37, dilaporkan ke Gaza mengikuti suaminya pada 1 Okt lepas, selepas enam tahun berkahwin. Bagaimanapun terperangkap susulan serangan sejak 7 Oktober lalu.

Mereka berdua sebelumnya mahu terus tinggal di Gaza, namun kemudian mengambil keputusan untuk meninggalkan kawasan bergolak itu disebabkan keadaan yang semakin meruncing.

“Disebabkan suami merupakan pemegang pasport Palestin, perjalanan untuk keluar dari Gaza melalui Lintasan Sempadan Rafah bukanlah mudah dan terpaksa menunggu untuk tempoh yang lama.

“Alhamdulillah terima kasih kerana doa dan sokongan semua. Setakat ini, keluarga semua berada dalam keadaan baik,” katanya yang turut menyampaikan ucapan penghargaan kepada Perdana Menteri ,Kerajaan Malaysia dan kakitangan Kedutaan Malaysia yang tidak berputus asa dalam memastikan proses membawa mereka keluar dari zon perang dapat dilakukan.

Perdana Menteri sementara itu menjelaskan, usaha membawa keluar Nurul Ain dan suaminya merupakan hasil daripada pertemuannya dengan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi, semasa lawatan kerja beliau ke Mesir pada 23 Okt lepas.

Related Articles

Back to top button