Proses ekstradisi Sirul Azhar terhalang, Australia tidak benar hukuman mati
Proses ekstradisi bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar Umar terhalang berikutan polisi Australia yang tidak membenarkan hukuman mati.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, situasi itu berlaku walaupun kedua-dua negara menandatangani Perjanjian Ekstradisi dan Perjanjian Bantuan Bersama Dalam Hal Jenayah.
Menurutnya, ketiadaan hukuman mati di Australia menyebabkan pihak berkuasa di sana enggan menghantar pulang Sirul yang sudah dijatuhkan hukuman gantung pada 2009 atas kematian wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu.
“Kita perlu melihat peraturan dual ‘criminality’ (peruntukan hukuman kedua-dua negara) maksudnya kesalahan yang berlaku di Malaysia juga ada (satu jenayah) di sana (Australia) dan hukuman itu sama.
“Contohnya jika kesalahan itu di Australia penjara sepanjang hayat, kita (Malaysia) juga penjara sepanjang hayat tetapi masalah Sirul (di Australia) tiada hukuman mati,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Mess Pegawai Kanan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman selepas menghadiri Majlis Pemakaian Pangkat Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri.
Menurutnya, walaupun hukuman mati mandatori sudah dimansuhkan namun Malaysia masih memperuntukkan hukuman mati bagi sesetengah kesalahan tidak seperti Australia yang tidak menggunakan hukuman itu.
Katanya, langkah seterusnya akan diambil pihak kerajaan untuk berhubung dan berbincang bersama Peguam Negara Australia berhubung proses mengekstradisi Sirul Azhar ke Malaysia.
Terdahulu media melaporkan Sirul Azhar disabitkan dengan kesalahan membunuh Altantuya pada 2006, dibebaskan dari Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney, Australia.
Akhbar Australia, The Sydney Morning Herald, melaporkan Sirul Azhar dibebaskan selepas sembilan tahun berada dalam tahanan pihak imigresen negara itu sejak 2015.