Parlimen

26,286 unit rumah tidak terjual pada suku kedua tahun ini – Akmal Nasir

Sebanyak 26,286 unit rumah siap dibina dengan nilai RM18.3 bilion didapati tidak terjual berbanding 135,614 unit rumah yang dilancar berdasarkan data awalan suku kedua 2023 yang dikeluarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 5.3 peratus daripada segi jumlah unit dan penurunan 0.6 peratus bagi nilai berbanding tempoh sama pada tahun lepas.

“Bagi memastikan isu lambakan rumah tidak terjual dapat dikawal, kerajaan telah dan sedang melaksanakan beberapa tindakan termasuk melaksanakan pemetaan Indeks Rumah Mampu Milik (RMM) berdasarkan pendapatan median mengikut negeri dan daerah yang diperoleh daripada tinjauan Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2022.

“Kaedah ini mengambil kira median pendapatan rakyat mengikut lokaliti berdasarkan kaedah gandaan median. Pemetaan ini juga sebagai panduan kepada pemaju serta agensi penyedia perumahan bagi menetapkan harga jualan rumah di satu-satu lokaliti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat ,hari ini, bagi menjawab pertanyaan Suhaimi Nasir (BN-Libaran) mengenai usaha yang dilakukan kementerian untuk mengatasi isu hartanah tidak terjual.

Selain itu, Akmal berkata kementerian juga menggalakkan pemaju melaksanakan kajian kebolehlaksanaan sebelum sesuatu pemajuan dibuat bagi memastikan rumah yang dibina berdasarkan kemampuan rakyat seterusnya mengelak daripada rumah itu tidak terjual.

Beliau berkata, kementerian juga sedang membangunkan Sistem Analitis Data Raya Perumahan sebagai sumber rujukan berpusat bagi data perumahan.

Dalam pada itu, Akmal berkata kementerian komited menggalakkan pembiayaan rumah menerusi inisiatif iBiaya di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dengan jumlah keseluruhan jaminan diberi oleh kerajaan meningkat sejak skim itu dilaksanakan.

Berdasarkan pengumuman Ekonomi Madani baru-baru ini, katanya jumlah keseluruhan jaminan yang diberi oleh kerajaan bertambah kepada RM10 bilion sepanjang tempoh pelaksanaan SJKP.

Beliau berkata sepanjang pelaksanaan SJKP pada 2008 hingga 30 Sept lepas, sebanyak 30,841 permohonan pinjaman bernilai RM5.85 bilion telah diluluskan, malah kerajaan melalui Belanjawan 2024 turut mencadangkan menambah lagi RM10 bilion jumlah jaminan bagi memanfaatkan 40,000 peminjam. – Bernama

Baca lagi:

Related Articles

Back to top button