Beto Kusyairy terbabit kemalangan motosikal berkuasa tinggi
Pelakon, Beto Kusyairy dilapor terlibat kemalangan ketika mengikuti konvoi motosikal Solidarity Ride Free Palestine Wings Motor Gangs Society (WMGS) Asean ke Masjid Negeri Perak di Ipoh pada Isnin.
Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, motosikal ditunggang Beto dikatakan bergesel dengan motosikal seorang lagi peserta yang dikatakan memasuki laluannya secara tiba-tiba sebelum terjatuh.
Akibat kejadian itu, Beto mengalami luka-luka ringan dan dirawat di Hospital Tapah sebelum dibenarkan pulang malam tadi manakala seorang lagi peserta masih dirawat di hospital kerana mengalami kecederaan yang agak teruk.
Legenda rock tanah air, Datuk Awie yang mengetuai konvoi tersebut mengesahkan kejadian tersebut tetapi enggan mengulas lanjut mengenainya.
“Insiden kemalangan itu tak berapa serius. Ada dua orang terlibat,” katanya ringkas mengulas insiden itu.
Terdahulu seramai lebih 300 peserta konvoi tiba di Masjid Negeri Perak kira-kira jam 7.30 malam bagi menghadiri majlis doa selamat dan solat hajat yang diadakan sebagai sokongan terhadap rakyat Palestin yang berdepan kekejaman rejim Zionis.
BACA LAGI: Awie konvoi motosikal berkuasa besar demi solidariti rakyat Palestin
Hadir sama menyambut ketibaan konvoi berkenaan, Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi; Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Mohamad Hamidi Baharuddin dan Imam Utama Masjid Negeri Perak, Ridzuan Zaidin
Sementara itu, pengurus Awie, Sharul Nizan Ramli berkata, selepas selesai majlis dan solat hajat, Awie bersama beberapa ahli konvoi lain singgah ke hospital melawat Beto dan seorang lagi peserta yang cedera.