Nasional

KKM buka permohonan sertai pasukan perubatan ke Semenanjung Gaza

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membuka permohonan secara dalam talian untuk mana-mana pegawai perubatannya yang berminat menyertai pasukan perubatan Malaysia ke Semenanjung Gaza.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, latihan bersesuaian juga akan diberikan kepada anggota berkenaan.

“Daripada sudut pasukan, insya-Allah kita bersedia dan akan melatih mereka. Latihan itu dari sudut fizikal, mental dan emosi kerana apabila berdepan dengan peperangan ini, ia satu perkara yang sangat menekan.

“Saya yakin anggota kesihatan ini, mereka memang bersedia daripada sudut rawatan dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas melancarkan sambutan Hari Integriti dan Lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) KKM tahun 2023, di Putrajaya, hari ini.

KKM sebelum ini berkata, pihaknya telah mengenalpasti pasukan perubatan bantuan yang boleh digerakkan ke Semenanjung Gaza sebaik mendapat kebenaran.

KKM memaklumkan, penghantaran pasukan perubatan itu akan dibuat menerusi kerjasama Kementerian Luar dan agensi awam lain serta koordinasi Bulan Sabit Merah Antarabangsa.

Mengulas lanjut, jelas Dr Zaliha, KKM memantau situasi di wilayah bergolak terbabit dan bekerja rapat dengan pasukan seperti Palang Merah Antarabangsa dan Mercy Malaysia.

“Saya berhubung secara langsung dengan mereka di mana mereka memerlukan peralatan berkaitan pembedahan kerana kecederaan yang tinggi di sana.

“Jadi KKM sentiasa berhubung dengan mereka untuk melihat apa keperluan mereka di sana,” katanya.

Terdahulu, KKM telah menghantar 20 tan bantuan kemudahan perubatan pertama pada 3 November lalu disusuli penerbangan kedua pada 11 November.

KKM akan menghantar alat guna habis ‘consumables’ dan ubat-ubatan dalam siri penghantaran bantuan kali ketiga dalam tempoh terdekat.

Baca lagi:

Related Articles

Back to top button