Rakyat Malaysia terperangkap di Gaza selamat tiba di tanah air
Rakyat Malaysia yang terperangkap di Gaza, Nurul Ain Haron selamat tiba di tanah air pada jam 8.55 malam tadi.
Nurul Ain tiba bersama suaminya, seorang warga Palestin, Mohamed AM Shaat di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) dengan menaiki syarikat penerbangan Malaysia (MAS) dari Kaherah.
Sebaik keluar dari balai ketibaan, Nurul Ain dan suaminya terus dipeluk oleh bapanya, Haron Hamim.
Turut menyambut ketibaan mereka adalah keluarganya dan pegawai dari Kementerian Luar Negara (KLN).
Bercerita lanjut mengenai pengalamannya di Gaza, Nurul Ain berkata pada mulanya dia bertekad untuk kekal berada di sana namun keadaan menjadi semakin teruk dan tiada tanda untuk reda.
“Alhamdulillah. Sebenarnya saya dan suami pada mulanya tidak mahu keluar kerana keluarga mentua masih di sana tetapi keadaan menjadi semakin teruk.
“Kejadian itu sangat luar biasa berbanding yang berlaku pada 2014, jadi saya dengan suami buat keputusan untuk pulang supaya suami dapat terus bekerja dan menyara keluarganya.
“Jadi kami berterima kasih kepada semua terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, duta di Kaherah, Wisma Putra dan Kementerian Luar Negeri (KLN),” katanya kepada pemberita.
BACA LAGI: Nurul Ain ucap terima kasih kepada PM Anwar, Kerajaan Malaysia
Nurul Ain berjaya dibawa keluar dari kawasan konflik melalui Lintasan Sempadan Rafah pada 12 November lalu.
Proses Evakuasi Nurul Ain dan suaminya dapat dilaksanakan dengan berkesan berikutan pertemuan di antara Perdana Menteri dengan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi, ketika lawatan kerja beliau ke Mesir pada 23 Oktober lalu, serta penyelarasan lanjut oleh Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan Kedutaan Besar Malaysia di Amman.