Negeri

Kelantan terima peruntukan tertinggi, dakwaan negeri pembangkang dipinggirkan meleset

Kerajaan Perpaduan tidak meminggirkan pembangunan di Kelantan walaupun negeri itu ditadbir pembangkang.

Timbalan Menteri Kerja Raya (KKR) Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad membuat pendedahan itu di Dewan Rakyat pada Rabu.

Jelasnya, ia terbukti apabila Kelantan merupakan negeri yang menerima peruntukan tertinggi melibatkan infrastruktur jalan di Semenanjung.

“Sebenarnya apa yang dikatakan Jelutong (RSN Rayer) kerajaan tidak anaktirikan kawasan pembangkang adalah benar.

“Saya katakan demikian kerana ada Ahli Yang Berhormat ketika berbahas mengatakan Kelantan dianaktirikan dan peruntukan yang diterima sangat sedikit.

“Saya nak beritahu Kelantan merupakan negeri yang menerima peruntukan tertinggi di Semenanjung,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat.

BACA LAGI: Kawasan pembangkang diberi peruntukan dalam bentuk projek pembangunan, bantuan terus

Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendukung wawasan Ekonomi MADANI yang dirangka untuk membina semula negara supaya gemilang, terangkum dan mampan.

Secara keseluruhan KKR menerima RM9.511 bilion peruntukan bagi tahun 2024, iaitu peningkatan sebanyak 12.7 peratus berbanding RM8.439 bilion yang diterima pada tahun 2023.

Manakala jumlah bajet mengurus KKR yang diluluskan pula adalah sebanyak RM949.37 juta iaitu kenaikan sebanyak 9.72 peratus berbanding RM865.27 juta yang diterima untuk tahun 2023.

Terdahulu Rayer memuji Kementerian Kerja Raya dengan mengatakan tidak benar dakwaan kawasan diwakili wakil rakyat pembangkang dianaktirikan kerajaan.

Ia selepas Abdul Rahman memperuntukkan banyak masa bagi menjawab soalan yang dibangkitkan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat.

Related Articles

Back to top button