Krisis di Palestin jejas hubungan global – PM Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran krisis kemanusiaan di Palestin bukan hanya akan memberi kesan kepada rakyat Palestin atau rantau Timur Tengah.
Sebaliknya menurut Anwar, krisis itu akan turut akan memberi kesan signifikan kepada hubungan global bagi tempoh yang panjang.
“Apa yang berlaku di Palestin hari ini akan memberi kesan kepada kita. Implikasi kepada pertelingkahan ini amat signifikan dan akan berlarutan untuk tempoh yang panjang.
“Ini adalah pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan,” katanya melalui syarahan khas beliau bertajuk ‘Superpower Rivalry and Rising Tensions in the Asia Pacific: The View from Southeast Asia’ di University of California, Berkeley pada Selasa yang dihadiri kira-kira 250 pelajar Malaysia.
Perdana Menteri dan delegasi berada di San Francisco, Amerika Syarikat (AS) bagi menghadiri Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) .
BACA LAGI: PM Anwar seru China bantu rakyat Palestin
Sementara itu melalui syarahan tersebut, perdana menteri mengulangi pendirian Malaysia yang membantah pembantaian terhadap rakyat Palestin.
Tegasnya, Malaysia juga secara konsistem mahu pelaksanaan gencatan senjata dan pengeboman di Gaza segera dimulakan.
“Seperti yang saya nyatakan di Parlimen Malaysia, tidak ada kata dua dalam perkara ini. Kita mengutuk keganasan, dalam semua bentuk dan kita mengutuk secara mutlak tindakan membunuh, mengorbankan nyawa mereka yang tidak bersalah, dan menjadikan wanita serta kanak-kanak tebusan.
“Kita dengan tegas mengutuk pengeboman orang awam, rumah dan hospital serta kekejaman terhadap mereka yang tidak bersalah, kanak-kanak, wanita dan lelaki, dilakukan siang dan malam di Gaza.” tegasnya.