AnwarSemasa

Orang ramai dijemput meriahkan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI

Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) bakal menganjurkan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI pada 8 hingga 10 Dis ini.

Sekretariat Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI melalui satu kenyataan pada Rabu memaklumkan program itu akan diadakan di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil bermula 9 pagi hingga 10 malam.

Selain bertujuan menyebar luas dan mempromosikan dasar dan inisiatif baharu yang diperkenalkan kerajaan kepada rakyat, ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran umum dan kefahaman terhadap hala tuju dan matlamat kerajaan, serta membina kepercayaan serta keyakinan antara kerajaan dengan rakyat melalui kaedah pelaporan pencapaian secara berkala.

Justeru orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan program tersebut.

“Antara tarikan sepanjang tiga hari program ialah penyampaian perkhidmatan secara langsung kepada rakyat, sesi libat urus kementerian-kementerian bersama rakyat, Jualan Mega MADANI dan lain-lain lagi.

“Rakyat juga berpeluang untuk melihat pencapaian kerajaan melalui pameran pencapaian semua kementerian berserta perancangan jangka masa panjang kerajaan,” menurut kenyataan itu.

BACA LAGI: Malaysia MADANI mampu direalisasi jika anak muda terus aktif – PM Anwar

Program itu dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia dengan melibatkan kerjasama strategik pelbagai kementerian dan agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta serta pemegang taruh.

Ia akan memberi fokus kepada tiga komponen iaitu Showcase Pencapaian Setahun Kerajaan MADANI, perkhidmatan touchpoint rakyat dan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat.

Ketiga-tiga komponen itu merupakan ikhtiar kerajaan dalam memastikan kepentingan rakyat diutamakan selari dengan nilai-nilai Malaysia MADANI iaitu keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyempurnakan majlis penutup program itu pada 10 Dis, yang akan turut dihadiri kepimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan.

Related Articles

Back to top button