Negeri

Pahang terima RM14 juta insentif EFT untuk program pemuliharaan hutan

Kerajaan Perpaduan telah menyalurkan RM14 juta insentif kewangan melalui ‘Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation’ (EFT) kepada negeri Pahang.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kerajaan berharap insentif itu akan dapat dimanfaatkan bagi melaksanakan program dan aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan hutan serta kepelbagaian biologi di negeri itu.

“Sejak tahun 2019, Negeri Pahang telah menerima peruntukan EFT sebanyak RM22.8 juta. Manakala sebanyak RM14 juta disalurkan untuk tahun 2023.

“Patik amat berharap supaya peruntukan EFT ini dapat dimanfaatkan bagi melaksanakan program dan aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan hutan dan kepelbagaian biologi,” katanya.

Nik Nazmi sebelumnya berucap pada majlis perasmian Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2023 Peringkat Pahang dan Pejabat Hutan Daerah Rompin yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Rabu.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Ridza Awang dan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Roslan Rani.

Sebagai rekod, Hari Hutan Antarabangsa disambut pada 21 Mac setiap tahun untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan hutan serta pemeliharaan dan pemuliharaannya dengan tema sambutan pada tahun ini ialah Hutan dan Kesihatan.

BACA LAGI:Kuasa beri amaran, Kelantan berdepan bencana jika pengubahsuaiann KSAS diteruskan

Dalam pada itu Nik Nazmi turut berkata, kementeriannya berharap semua kerajaan negeri memberi sokongan dengan menerima pakai keseluruhan pindaan dalam Akta Perhutanan Negara (Akta 313) di negeri masing-masing yang diwartakan pada 20 September di peringkat persekutuan.

Antara penambahbaikannya seperti memperketatkan proses pewartaan keluar dan penggantian Hutan Simpanan Kekal (HSK), memperkenalkan proses siasatan awam sebelum sesuatu kawasan HSK boleh diwarta keluar serta penggantian serentak bagi HSK yang diwarta keluar itu.

“Selain itu, denda maksimum bagi kesalahan hutan ditingkatkan daripada RM500,000 kepada RM5 juta dan hukuman penjara maksimum dinaikkan kepada tujuh tahun hingga 20 tahun sebagai langkah pencegahan,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button