PBB gesa laksana ‘jeda kemanusiaan yang panjang ‘ di Gaza
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), akhirnya membuka mulut sejak tercetusnya konflik berdarah antara Israel dan Hamas pada 7 Oktober lalu dengan menggesa dilaksanakan `jeda kemanusiaan yang panjang’ di Semenanjung Gaza.
Resolusi itu disediakan Malta dan diterima pakai apabila 12 undian menyokong yang `menyeru supaya jeda dan koridor kemanusiaan di seluruh Semenanjung Gaza dilaksanakan segera untuk beberapa hari’ bagi membolehkan bantuan sampai kepada orang awam di wilayah yang dikepung.
Teks resolusi itu bagaimanapun menimbulkan persoalan mengenai bilangan hari yang akan dianggap mencukupi. Draf awal yang dilihat AFP sebelum ini mencadangkan lima hari berturut-turut dalam tempoh 24 jam.
Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stephane Dujarric berkata, ia memerlukan satu tempoh yang agak lama untuk pihaknya menggerakkan sumber yang ada.
“Sebaik sahaja kita mempunyai bahan api yang mencukupi, orang ramai boleh mendapatkan apa yang mereka perlukan,” katanya.
Resolusi Majlis Keselamatan berkenaan bertujuan mengikat sesuatu perkara di sisi undang-undang, namun beberapa ahli sering kali mengabaikannya.
Ia menyeru semua pihak untuk mematuhi kewajipan kemanusiaan antarabangsa `terutamanya berkaitan dengan perlindungan orang awam khususnya kanak-kanak’.
Ia juga menggesa ‘pembebasan segera dan tanpa syarat semua tebusan yang ditahan oleh Hamas dan kumpulan lain, terutamanya kanak-kanak’.
Lebih 230 tebusan dipercayai ditahan Hamas setakat ini.
Utusan PBB Malta, Vanessa Frazier berkata `anggota Majlis Keselamatan bersatu bersuara’.
Katanya, semua 15 anggota mempunyai `keinginan untuk menyelamatkan nyawa dan memberi kelonggaran’ kepada orang awam. – AFP
Baca lagi: