Mahkamah

Pemimpin kanan Bersatu didakwa fitnah SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa seorang pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) telah melempar ‘fitnah’ terhadap agensi itu.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, SPRM mendakwa Ketua Penerangan Bersatu Malaysia, Razali Idris melontar beberapa dakwaan palsu membabitkan agensi itu ketika berceramah di Kemaman pada 10 Nov lalu yang rakamannya dikongsikan melalui aplikasi TikTok.

“Beliau telah menyatakan bahawa jentera-jentera kerajaan, SPRM dan hakim-hakim dikawal oleh kerajaan semasa, serta mempertikaikan keputusan hakim mahkamah tinggi berhubung sabitan empat pertuduhan ke atas bekas Menteri Belia dan Sukan

“SPRM memandang berat “fitnah dan tohmahan” yang dilemparkan Razali kerana ia boleh menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap sistem penguatkuasaan dan perundangan negara ini,” kata agensi itu.

Justeru satu laporan polis telah difailkan terhadap Razali yang juga pengerusi Bersatu Terengganu itu bagi menggesa siasatan dijalankan.

Untuk rekod Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara selama tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta terhadap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada 9 Nov lalu.

BACA LAGI: Wan Ahmad Fayhsal tabur fitnah demi kepentingan politik diri sendiri – Farhash

Syed Saddiq yang juga bekas ketua Pemuda Bersatu (Armada) itu disabitkan bersalah atas empat pertuduhan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana sayap parti terbabit, berjumlah RM1.12 juta.

Sementara itu SPRM dalam kenyataannya menegaskan agensi itu merupakan badan penguat kuasa yang diperkasakan oleh undang-undang untuk melaksanakan peranan sebagai pembanteras rasuah secara bebas dan profesional.

“Oleh yang demikian, SPRM berharap tindakan sewajarnya dapat diambil dengan kadar segera terhadap mereka yang mengeluar dan menyebarkan fitnah dan tohmahan tersebut,” katanya.

Related Articles

Back to top button