hiburan

Suhaimi Saad meninggal dunia ketika dapatkan rawatan pneumonia

Selepas beberapa hari kritikal, bekas anggota kumpulan nasyid In-Team, Suhaimi Saad menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan di Johor Bahru, Johor malam tadi.

Khabar duka itu dikongsi menerusi laman Facebook dan Instagram rasmi In-Team

“Sahabat kami yang kami kasihi. Mohd Suhaimi Bin Saad telah kembali kepada penciptaNya sebentar tadi jam 7.40 malam

“Salam takziah buat seluruh ahli keluarga. Semoga dipermudahkan segala urusan. Semoga Allah menempatkan Almarhum dalam kalangan orang2 yang beriman dan beramal soleh. Lahu Al-Fatihah,” kata kenyataan ringkas In-Team di pautan Instagram rasmi mereka.

Berita itu turut disahkan Presiden Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (Munsyid Malaysia) Razin Che Mud.

“Marilah sama-sama kita doakan agar roh almarhum ditempatkan bersama para anbiya dan solehin di syurga,” katanya dipetik laporan media.

Allahyarham Suhaimi sebelum ini ditidurkan di ICU hospital berkenaan selepas seminggu dirawat ekoran keadaan kesihatannya kurang baik dipercayai akibat pneumonia.

Beliau sebelumnya dikejarkan ke hospital selepas mengalami batuk kronik dan cirit birit berpanjangan.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Nordiana Mohd Naim (Ina Naim) bersama empat orang cahaya matanya hasil perkahwinan sejak Ogos 2007.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil sementara itu turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham melalui satu hantaran di laman Facebooknya.

Related Articles

Back to top button