AnwarSemasa

164 keluarga terjejas kejadian ribut terima sumbangan dari Perdana Menteri

Seramai 164 keluarga di Taman Klebang Jaya dan Taman Meru 2C di Ipoh yang kediaman mereka terjejas dalam kejadian ribut minggu lalu mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri melalui Setiausaha Politik Kanannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin menyampaikan sumbangan antara RM700 hingga RM1,400 kepada penduduk yang terkesan dengan kejadian itu.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan itu pada Khamis, Shamsul Iskandar berkata sumbangan tersebut bertujuan meringankan beban dalam membantu mereka membaiki kerosakan akibat kejadian ribut.

“Bantuan yang disampaikan itu juga sebagai menzahirkan rasa simpati dan tanggungjawab Anwar sebagai Ahli Parlimen Tambun kepada penduduk di kawasan diwakilinya,” jelasnya.

BACA LAGI: PM perihatin, beri sumbangan RM50,000 bantu keluarga hilang tempat tinggal

Pada 8 November lalu, hujan lebat diikuti angin kencang menerbangkan bumbung rumah 65 penduduk di Klebang Jaya selain menyebabkan siling runtuh namun tiada sebarang kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dalam kejadian kira-kira 2 petang itu.

Kejadian sama turut berlaku di Taman Meru 2C Isnin lepas sekitar 4 petang apabila lebih 99 rumah penduduk di Persiaran Taman Meru 22, 24,26 dan 30 mengalami kerosakan di bahagian bumbung.

Shamsul sementara itu berkata, Anwar telah mengarahkan semua agensi berkaitan bencana dan keselamatan serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri sentiasa bersiap sedia menghadapi ketidaktentuan cuaca seperti ribut dan banjir.

“Arahan telah dikeluarkan kepada agensi terbabit agar sentiasa bersedia kerana cuaca sekarang tidak menentu pada hujung tahun khususnya polis dan bomba, malah semua jawatankuasa pengurusan bencana negeri.

“Beliau (Anwar) turut menekankan keperluan keberkesanan agensi berkenaan dalam menyalurkan bantuan terus kepada rakyat agar mana-mana keadaan bencana yang berlaku dapat ditangani segera,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button