ekonomi

Jumlah isi rumah miskin tegar catat penurunan – Menteri Ekonomi

Usaha dilaksana kerajaan perpaduan dalam mengurangkan jumlah isi rumah miskin tegar di negara ini mula menunjukkan hasil.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memaklumkan data Survei Pendapatan Isi Rumah yang dilaksanakan pada 2022 mendapati kadar kemiskinan tegar berkurang daripada anggaran 1% isi rumah pada 2020, kepada 0.2% pada masa ini.

Melalui jawaban bertulis Dewan Rakyat, Rafizi turut berkata pengurangan sama dapat dilihat berdasarkan data eKasih iaitu pangkalan data di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.

“Berdasarkan eKasih setakat 31 Oktober 2023, jumlah isi rumah miskin tegar adalah 102,888 Ketua Isi Rumah (KIR). Angka ini menunjukkan penurunan berbanding data eKasih pada bulan Januari 2023 yang mencatatkan sejumlah 126,556 KIR miskin tegar,” tambahnya.

Sementara itu Rafizi turut menjelaskan kerajaan akan terus melipatgandakan usaha membantu KIR miskin tegar untuk keluar daripada cengkaman kemiskinan melalui pewujudan pelbagai program peningkatan pendapatan dan mencipta peluang pekerjaan.

Ia antaranya dengan melaksana anjakan besar melalui penyasaran pemberian bantuan kepada golongan sasar berkelayakan selain kewujudan pangkalan data utama (Padu) yang akan memainkan peranan penting, dan dijangka sedia digunakan secara berperingkat mulai Januari depan.

“Pengenalan Padu akan membolehkan usaha membasmi kemiskinan tegar dapat dilaksanakan dengan lebih tepat tanpa sebarang keciciran dan pertindihan pemberian bantuan oleh semua agensi Persekutuan dan negeri,” katanya.

BACA LAGI: Basmi miskin tegar: Kerajaan pertimbang pemberian bantuan tunai khas secara bulanan

Selain itu kerajaan turut menghulurkan bantuan jangka pendek bagi golongan miskin termasuk sumbangan tunai, barangan asas, subsidi kepada pesawah dan pekebun kecil, serta projek pembaikan prasarana luar bandar.

Bagi strategi jangka sederhana pula, program keusahawanan, peningkatan kemahiran dan latihan kemahiran semula akan dilaksanakan bagi mempertingkatkan pendapatan, termasuk program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang telah memanfaatkan 4,100 isi rumah berpendapatan rendah.

Related Articles

Back to top button