KDN sedang kaji pindaan Akta 298, tingkat aspek keselamatan negara
Sebagai sebahagian usaha memastikan aspek keselamatan negara terus dipertingkat, kerajaan sedang mengkaji beberapa tindakan memperkukuhkan akta berkaitan.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail ditemui pemberita pada satu majlis di Kuala Lumpur pada Khamis berkata, antaranya kerajaan sedang mengkaji pindaan terhadap Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (Akta 298).
Jelasnya, cadangan pindaaan itu berikutan Akta 298 belum pernah dipinda sejak diwujudkan pada 1959 dan boleh dianggap sudah tidak relevan dengan keadaan semasa.
“Akta ini tidak pernah ditambah baik dan melangkah ke hadapan kita fokuskan dalam beberapa perkara seperti aspek nilai punitif dan peluasan kuasa membabitkan pelbagai agensi penguat kuasa. Tidak boleh lagi hanya satu agensi sahaja diberikan kuasa, kena ada pelbagai agensi untuk menguatkuasakannya.
“Tumpuan dalam aspek hukuman, memandangkan kadar hukuman (bagi Akta 298) sudah tidak relevan. Kita juga akan memasukkan sasaran penting dalam akta ini. Semua masih dalam peringkat perbincangan,” katanya.
BACA LAGI: Kementerian Ekonomi bentang Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif hujung bulan ini
Saifuddin sementara itu berkata kajian mengenai pindaan itu sudah dijalankan sejak tahun lepas dan bengkel bagi memperkasa akta tersebut akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Selain itu, beliau berkata KDN turut mengusahakan rang undang-undang baharu berkaitan keselamatan siber dan agensi tunggal keselamatan membabitkan penguat kuasa pelbagai agensi yang akan dilaksanakan pada suku pertama tahun hadapan.