Kerajaan berdepan cabaran, 30 peratus miskin tegar tak minat sertai program jana pendapatan
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mendedahkan kira-kira 25 hingga 30 peratus golongan miskin tegar kurang berminat menyertai program menjana pendapatan yang dianjurkan kerajaan.
Sebaliknya jelas Rafizi, mereka lebih berminat untuk terus menerima bantuan tunai termasuk melalui sistem e-Kasih yang sekaligus menjadi cabaran untuk kementeriannya
“Apabila kita memprofilkan seberapa banyak keluarga dalam e-Kasih yang dikira miskin tegar ini, untuk dipadankan dengan program pembasmian kemiskinan…secara puratanya 25 ke 30 peratus menolak untuk terlibat dalam apa-apa program.
“Ini kerana bagi mereka, bagi saja bantuan tunai…yang melibatkan menjana pendapatan ini, mereka tidak berminat.
“Pada dasarnya, situasi seperti ini akan menimbulkan cabaran kepada kerajaan dalam melaksanakan pemutihan pangkalan data eKasih,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.
Terdahulu, seorang Ahli Parlimen bertanyakan soalan tambahan kepada Kementerian Ekonomi berhubung pemutihan senarai penerima di dalam sistem e-Kasih.
BACA LAGI: Kerajaan bangun pelan tindakan baharu untuk perkasa ekonomi bumiputera
Mengulas lanjut Rafizi turut memaklumkan, hasil pemutihan yang dijalankan, senarai penerima eKasih yang telah dibersihkan kini mengandungi kira-kira 80,000 isi rumah.
Bagi tujuan itu kerajaan jelasnya turut mempertimbangkan untuk mengguna pakai beberapa pemboleh ubah selain pendapatan seperti aset dan lokasi kediaman pada masa akan datang.
“Kita boleh dapat angka yang lebih tepat berhubung kedudukan isi rumah miskin supaya bantuan dapat disalurkan dengan lebih tepat,” ujarnya.