Sukan

Kim Pan Gon terus bimbing skuad Harimau Malaya sehingga 2025

Ketua Jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon akan meneruskan khidmatnya bersama skuad kebangsaan sehingga 2025.

Perkembangan itu disahkan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang menjelaskan pengendali dari Korea Selatan itu bersetuju untuk terus membimbing skuad kebangsaan bagi tempoh dua tahun lagi.

Ini jelas satu keputusan yang tepat khususnya untuk Pan Gon terus mengendalikan pasukan bagi mengharungi pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan objektif mereka untuk menjadi 18 pasukan terbaik Asia.

“Ini cabaran (kelayakan) untuk buktikan yang dia ada sesuatu yang istimewa untuk terus memacu skuad kebangsaan. Kontraknya sampai 2025.

“Kita memilih Pan Gon kerana beliau seorang yang memiliki banyak pengetahuan selain seorang yang buat kerja,” katanya.

Sebagai rekod, Pan Gon mula membimbing skuad kebangsaan bermula awal 2022 dan diberikan kontrak dua tahun dengan pilihan untuk disambung lagi jika berjaya menunjukkan prestasi cemerlang.

Di bawah kendalian Pan Gon, ranking skuad negara melonjak sehingga ke-134 dunia sebelum turun tiga anak tangga dalam kemaskini terbaharu susulan tewas 0-2 di tangan Tajikistan pada final Pestabola Merdeka, bulan lalu.

Meskipun terlepas gelaran Pestabola Merdeka namun skuad negara menunjukkan corak permainan bertenaga dan menyerang sekali gus membuktikan betapa mereka mampu mencabar pasukan di ranking lebih tinggi.

Ini dibuktikan menerusi kejayaan mengikat Syria 2-2 dan China 1-1 selain kemenangan 4-2 ke atas India selain melakar kemenangan terbesar apabila membelasah Papua New Guinea 10-0.

Berdasarkan semakan di laman sesawang Transfermarkt semalam, Pan Gon mencatat rekod kemenangan sebanyak 68 peratus hasil 17 kemenangan daripada 25 perlawanan yang dibimbingnya.

Baca lagi:

Related Articles

Back to top button