Semasa

Mindef teroka peluang kerjasama dalam bidang STEM

Kementerian Pertahanan akan meneroka peluang bekerjasama dalam bidang Kurikulum Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bersama Petronas dan syarikat-syarikat industri pertahanan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, langkah tersebut bagi memberi pendedahan mengenai laluan pendidikan kepada sekolah-sekolah serta laluan kerjaya dalam bidang industri pertahanan kepada pelajar di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Kementerian melalui Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) jelasnya komited untuk meningkatkan program-program pembudayaan daya cipta dan inovasi dalam kalangan generasi muda.

“Melalui inovasi kita mampu meningkatkan keselamatan negara melalui pemerkasaan keupayaan pertahanan.

“Sebagai contoh kemajuan dalam AI dan pembelajaran mesin boleh membantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mengesan dan mencegah serangan siber,” katanya.

BACA LAGI: Bekas Panglima ATM calon Kerajaan Perpaduan di PRK Kemaman

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Pertandingan Akhir Inovasi Pertahanan Peringkat Kebangsaan Bersama Majlis Penutup Program Membudayakan R&D Pertahanan di Sekolah 2023, di Wisma Perwira, Kuala Lumpur pada Khamis.

Tambah bekas Ketua Menteri Melaka itu lagi, Mindef sentiasa mengadakan perbincangan dengan semua pihak mengenai langkah-langkah tertentu termasuk dalam pendidikan sebagaimana disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2024 iaitu mengenai peningkatan bajet untuk pendidikan dan inovasi yang seumpamanya.

Related Articles

Back to top button