Sukan

Skuad berbasikal wanita negara dapat slot ke Olimpik Paris

Pasukan berbasikal wanita negara mendapat khabar gembira daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Dipetik laporan media, badan pentadbir dunia untuk sukan lumba basikal dan menyelia acara berbasikal kompetitif antarabangsa itu telah memberikan satu slot bagi pasukan itu beraksi ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Slot berkenaan diraih susulan kejayaan pelumba negara pada Kejohanan Berbasikal Lebuhraya Asia (ACC 2023) Thailand, Jun lepas.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Abd Wahab mengesahkan perkara itu dan menjelaskan ia telah dimaklumkan Ahli Jawatankuasa Pengurusan UCI dan Naib Presiden PKBM Datuk Amarjit Singh Gill ketika mesyuarat exco PKBM dua minggu lepas.

“Saya difahamkan UCI akan berhubung terus dengan MOM (Majlis Olimpik Malaysia) untuk notifikasi kelayakan berkenaan,” tambahnya dalam satu kenyataan.

Kali terakhir skuad berbasikal lebuh raya kebangsaan mempunyai wakil di pentas Olimpik adalah pada edisi 2012 di London menerusi dua pelumba lelaki negara Muhammad Adiq Hussainie Othman dan Amir Mustafa Rusli

BACA LAGI: Hafizh Syahrin bakal umum perkembangan bersama JDT

Difahamkan, slot untuk Sukan Olimpik Paris 2024 diberikan susulan kejayaan pelumba cilik, Phi Kun Pan merangkul pingat emas acara lepas beramai-ramai bawah 23 tahun wanita di Kejohanan Lumba Basikal Lebuhraya Asia (ACC 2023) di Rayong, Thailand, Jun lalu.

Abdul Samah menjelaskan, selain Kun Pan, seorang lagi pelumba negara Nur Aisyah Zubir yang memenangi dua pingat gangsa dalam acara lebuh raya dan kriterium wanita di Sukan SEA 2023 Kemboja, Mei lepas, juga berpotensi ke Paris 2024.

Bagaimanapun pihaknya akan menentukan pelumba mana yang layak mewakili negara pada temasya sukan terbesar dunia itu nanti.

Related Articles

Back to top button