Galak pembangunan mampan, Malaysia kukuh kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Pusat Pembangunan Makanan Hijau China – Fadillah
Malaysia berhasrat mengukuhkan kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar China dan Pusat Pembangunan Makanan Hijau China, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata, kerjasama tersebut adalah berhubung dengan penerimaan bersama terhadap Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Skim Pensijilan Makanan Hijau China bagi menggalakkan pembangunan mampan.
Fadillah yang juga merupakan Menteri Perladangan dan Komoditi berkata demikian setelah menghadiri perjumpaan bersama Menteri Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar China, Tang Renjian di Beijing, kelmarin.
Perjumpaan bersama Renjian itu sekali gus mengakhiri hari ketiga lawatan rasmi beliau ke Beijing.
“Perbincangan kami tertumpu kepada usaha meningkatkan perdagangan dan eksport minyak sawit serta produk berkaitannya ke China.
“Selain itu, saya turut menzahirkan penghargaan kepada China atas usaha menyokong kerjasama antara Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) dan Pusat Pembangunan Makanan Hijau China, juga penerimaan terhadap skim MSPO,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya.
Sepanjang lawatan rasmi beliau di Beijing, Fadillah turut mengadakan pertemuan dua hala ketiganya bersama Naib Premier Republik Rakyat China, Ding Xuexiang dan melawat Akademi Sains Pertanian China (CAAS).
CAAS adalah sebuah organisasi penyelidikan saintifik bagi bidang pertanian yang menjalankan penyelidikan asas dan membangunkan teknologi baharu bagi menyelesaikan pelbagai cabaran dalam memajukan bidang pertanian dan memajukan ekonomi luar bandar China.
“Sebagai penyokong teguh Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), Malaysia komited dalam perhubungan serantau.
“Saya turut menzahirkan ucapan tahniah kepada China dan Presiden Xi Jinping atas kejayaan menjadi tuan rumah bagi Forum Belt and Road Ketiga untuk Kerjasama Antarabangsa di Beijing.
“Ia juga bagi memperingati ulang tahun ke-50 hubungan dua hala Malaysia-China yang akan diraikan pada tahun depan yang mana kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menganjurkan pelbagai program dan aktiviti,” katanya.
Pada 2022, China mengimport sebanyak 3.14 juta tan minyak sawit dan produk berkaitan sawit dari Malaysia.
“Saya berharap China akan terus menyokong sektor minyak sawit Malaysia serta meningkatkan jumlah import kepada 3.4 juta tan metrik atau lebih pada 2024,” katanya.
Baca lagi: