Harga tiket penerbangan musim perayaan bakal lebih murah?
Kerajaan bercadang memperkenalkan insentif bagi mengatasi isu harga tiket penerbangan yang tinggi pada musim perayaan.
Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, kerajaan memahami keluhan rakyat terutama bagi mereka yang tinggal di Sabah dan Sarawak yang berdepan isu berkenaan.
“Kita faham buat masa ini harga tiket penerbangan tinggi dan antara faktor peningkatan ini adalah forex (kejatuhan nilai ringgit) yang memberi kesan kepada harga minyak kapal terbang dan sebagainya.
“(Antara solusi boleh dilaksanakan) Kita akan memberikan insentif yang dapat disediakan semasa musim perayaan untuk menangani isu ini,” jelasnya dipetik laporan media.
Hasbi berkara begitu selepas merasmikan majlis Pengoperasian Radar Trafik Udara di Kuching pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan inisiatif FLYsiswa akan diteruskan pada tahun depan untuk membantu pelajar pulang ke kampung halaman mereka.
Dalam Belanjawan 2024 bertemakan “Reformasi Ekonomi, Perkasa Rakyat” yang dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini, kerajaan mengumumkan bantuan subsidi tiket penerbangan FLYsiswa diteruskan pada tahun hadapan yang akan dinikmati hampir 60,000 penuntut daripada keluarga kurang berkemampuan khususnya dari Sabah, Sarawak dan Labuan.