Semasa

Kertas konsep GovTech dibentangkan ke MTEN Disember ini – Rafizi

Kerajaan akan membentangkan kertas konsep GovTech di mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada Disember ini.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kertas itu akan menggariskan inisiatif strategik dan penyelesaian teknologi inovatif yang dicadangkan untuk meningkatkan perkhidmatan sektor awam, dengan fokusnya adalah pada memanfaatkan teknologi terkini bagi memperkemas operasi kerajaan, meningkatkan kecekapan dan menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada orang awam.

“Pembentangan ini merupakan langkah kritikal dalam mengintegrasikan teknologi ke dalam proses kerajaan, yang melambangkan komitmen terhadap transformasi digital dan pemodenan sektor awam,“ katanya dalam sidang akhbar berhubung kemas kini mengenai Program Kepimpinan Digital Eksekutif (EDL) di Kuala Lumpur semalam.

Sementara itu Ahli Parlimen Pandan itu menjelaskan, GovTech bertujuan untuk merevolusikan perkhidmatan sektor awam dengan mengintegrasikan operasi kerajaan ke dalam satu platform digital yang serba lengkap dan berkesan.

Inisiatif itu berpusat pada penciptaan ekosistem digital yang saling berhubung, membolehkan rakyat mengakses pelbagai perkhidmatan kerajaan dengan mudah dan cekap.

“Dengan memanfaatkan data dan analitik, GovTech berusaha untuk menggerakkan tadbir urus yang lebih bermaklumat, tanggap dan berkesan,” tambahnya.

BACA LAGI:Kementerian Ekonomi bentang Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif hujung bulan ini

Dalam pada itu, Rafizi turut memaklumkan kohort pertama Program EDL yang dilancarkan pada 14 Nov, 2023, terdiri daripada 55 peserta, dengan 35 daripadanya ialah sektor awam dan bakinya daripada sektor swasta.

Peserta akan terlibat dalam kursus selama tiga bulan, dan kemudiannya beralih kepada kohort kedua dan seterusnya, kata beliau.

“Penyertaan program seperti EDL yang konsisten akan memastikan generasi mempunyai keupayaan untuk memacu Malaysia ke hadapan menuju era kemajuan teknologi yang seterusnya.” tambahnya.

Related Articles

Back to top button