KPM komited atasi isu kekurangan guru – Fadhlina
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa mengambil langkah proaktif untuk mengatasi isu kekurangan guru di semua jenis sekolah.
Menterinya Fadhlina Sidek berkata pihaknya mengambil perhatian isu kekurangan guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) seperti yang dilaporkan oleh media.
“Isu kekurangan guru adalah isu yang sedang berlaku di semua jenis sekolah dan ia bersifat sementara.
“Keperluan guru baharu sekolah rendah direncana berdasarkan kepada kekosongan perjawatan mengikut opsyen serta guru masuk dan keluar daripada sistem mengikut opsyen keluaran latihan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP),” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
BACA LAGI: KPM jalankan saringan kompetensi digital guru, dijangka selesai akhir Disember
Mengulas lanjut beliau menjelaskan, kementerian melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) akan melaksana program jangka pendek, sederhana dan panjang bagi mengatasi masalah itu.
Ia termasuk menerusi lantikan ‘Contract of Service’ (COS), Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) dan PISMP
“Pengambilan guru melalui PISMP dilakukan secara berterusan bagi mengisi kekosongan di semua jenis sekolah melibatkan semua opsyen mata pelajaran termasuk Bahasa Cina dan Bahasa Tamil.
“Isu ini telah dibincangkan dalam beberapa sesi libat urus hala tuju pendidikan bersama SJKC dan SJKT sepanjang tahun ini.
“KPM sentiasa prihatin mengenai perkara ini dan memastikan kebimbangan setiap pemegang taruh ditangani dengan wajar,” tambahnya.