Pertembungan dua penjuru, BN lawan Pas di PRK Kemaman
Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman di Terengganu menyaksikan pertembungan dua penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) dan Pas.
Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Bersara Tan Seri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor mewakili BN manakala Pas mempertaruhkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Nama semua calon yang layak bertanding itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab, selepas proses penamaan calon ditutup pada jam 10 pagi.
Terdahulu, calon BN diiringi Pengerusi Perhubungan Barisan Nasional Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said sebagai pencadang dan bekas Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, sebagai penyokong.
Calon BN selesai menyerahkan borang penamaan calon jam 9.15 pagi manakala Calon Pas pada jam 9.10 pagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal pada 28 November, manakala 2 Disember sebagai hari pengundian.
Kempen PRK itu ditetapkan selama 14 hari bermula hari ini hingga detik 11.59 malam, 1 Disember nanti.
PRK Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lepas yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pada PRU15, Che Alias menang kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi menewaskan Ketua Umno Terengganu Ahmad Said yang mendapat 38,535 undi, calon Pakatan Harapan Hasuni Sudin (8,340) dan calon Pejuang Rosli Ab Ghani (506).
Baca juga: