Semasa

Polis buka kertas siasat susulan tuduhan Wan Ahmad Fayhsal terhadap Farhash

Pihak polis telah membuka kertas siasatan terhadap Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal susulan kenyataannya yang menuduh seorang bekas pemimpin KEADILAN terbabit merasuah dan mengancam Ahli Parlimen pembangkang supaya menyokong kerajaan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain pada Jumaat mengesahkan perkara itu dan turut memaklumkan pihak polis sudah menerima laporan polis daripada Datuk Farhash Wafa Salvador berhubung perkara itu.

“Kami sudah menerima laporan (dari Farhash) dan kami sudah memulakan siasatan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya. ditemui pemberita dalam satu program di Shah Alam

Wan Ahmad Faysal yang juga Ahli Parlimen Machang baru-baru ini menuduh Farhash yang juga bekas pegawai Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan seorang lagi individu dikenali sebagai “Datuk Botak” merupakan dalang kepada tindakan beberapa Ahli Parlimen Pembangkang mengalihkan sokongan terhadap kerajaan.

Ini susulan tindakan empat Ahli Parlimen Bersatu yang baru-baru ini menyatakan sokongan kepada kerajaan dengan alasan untuk mendapatkan peruntukan untuk kawasan masing-masing.

Empat Ahli Parlimen Bersatu itu adalah Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).

BACA LAGI: Wan Ahmad Fayhsal tabur fitnah demi kepentingan politik diri sendiri – Farhash

Pada Selasa Farhash tampil menafikan tuduhan Wan Fayhsal dan berkata, beliau tidak lagi terbabit dengan politik.

Malah jelasnya beliau akan membuat laporan polis berhubung dakwaan itu dan mempertimbangkan untuk memfailkan saman terhadap Wan Ahmad Faysal.

Related Articles

Back to top button